Friday, January 28, 2011

Sinopsis Novel Kembara Amira

SINOPSIS
Novel ini mengisahkan pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan. Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama pelajar tahun akhir. Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. Amira juga telah berkenalan dengan Malique.
Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut. Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung.
Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia. Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah. Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua. Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique. Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.
Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia. Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi). Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik Malique.
Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa. Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris. Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

Friday, January 21, 2011

Contoh Karangan

Amalan berjimat cermat dan menabung.


............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Friday, January 14, 2011

Interlok

JANGAN LAYAN DESAKAN

BESUT 13 Jan. - Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia meminta supaya Kementerian Pelajaran tidak melayan sebarang desakan menarik balik novel Interlok sebagai teks wajib Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.

Presidennya, Profesor Madya Dr. Hashim Othman berkata, pihaknya berpendapat langkah itu hanya akan menghakis peluang generasi muda memahami dan menerima perkembangan sejarah pelbagai masyarakat yang membentuk negara Malaysia.

Beliau berkata, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husein menggarap idea dengan baik dalam novel itu melalui penceritaan tentang pembinaan masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum merdeka menerusi watak Seman, Chin Huat dan Maniam secara realistik.

"Tindakan bakar novel dan potret penulis Interlok jelas tidak menggambarkan kematangan tindakan dan pemikiran, yang jelas bermotif kepentingan politik tanpa melihat konteks cerita atau menerima realiti peristiwa yang digambarkan penulis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hashim percaya sekiranya tuntutan kumpulan itu dilayan, pasti banyak lagi isu akan ditimbulkan berpandukan daripada buku-buku lama atau buku sejarah yang menggunakan perkataan atau perumpamaan tertentu yang menggambarkan masyarakat Melayu, Cina dan India sebelum merdeka.

Beliau berkata, penggunaan Interlok juga selari dengan mata pelajaran Sejarah yang dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus, iaitu murid didedahkan dengan hakikat dan fakta sejarah untuk membolehkan mereka berfikir secara rasional, kritis serta memupuk sifat bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

"Interlok ditulis untuk dibaca dengan fikiran terbuka, bukan dibakar untuk memarakkan emosi," kata Dr. Hashim yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Sumber: Utusan Malaysia