Wednesday, October 9, 2013

KARANGAN : MASALAH JEREBU


Masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.   Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara.
Bincangkan punca-punca berlakunya masalah jerebu dan kesan-kesannya .


Analisis soalan:
Tema/Isu      :    Masalah jerebu
Tugasan       :    bincangkan punca-punca berlakunya jerebu dan kesan-kesannya
Format          :    tiada (perbincangan)




       Memang tidak dapat dinafikan, masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.  Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara  Jerebu berlaku apabila kehadiran partikel terampai di atmosfera seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah di dalam keadaan udara kering. Di Malaysia tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU). Tahap kualiti udara yang teruk ialah IPU 101-400. Namun, realitinya keadaan udara yang berjerebu di negara kita amat membahayakan kesihatan rakyat.  Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya masalah jerebu?

       Sebenarnya, masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia sendiri iaitu pertamanya melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar.  Contohnya, asap tebal hampir menjadi masalah tahunan kepada Singapura dan Malaysia, selalunya bermula pada pertengahan tahun apabila peladang di Indonesia membersihkan ladang secara murah dengan membakarnya.  Maklumat daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) juga menunjukkan lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke selatan Pantai Barat Semenanjung.  Keadaan ini telah menyebabkan Malaysia mengalami masalah jerebu yang membimbangkan.

         Selain itu, faktor yang memburukkan lagi keadaan ialah  tindakan  masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap atau bahan buangan sama ada individu ataupun pemilik kilang. Contohnya, sesetengah anggota masyarakat melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Begitu juga pemilik kilang kain, papan dan sebagainya bertindak membakar sendiri bahan buangan kilang mereka.  Mereka tidak betanggungjawab dan tidak mengambil kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu.  Mereka juga tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini mengakibatkan asap dilepaskan ke udara dan mengakibatkan jerebu.

      Tambahan pula,  peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya dan telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan keadaan jerebu bertambah parah kerana kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap yang mencemarkan udara.  Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas.  Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

       Seterusnya,  pengeluaran asap yang tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang menggunakan minyak dan arang batu turut menjadi punca utama jerebu.   Sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang dilepaskan ke udara dan telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu.  Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara.  Contoh kawasan perindustrian ialah Seguntor di Sandakan dan Lembah Klang.

          Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah jerebu ini.  Usaha ini sangat penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.  sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, , pihak kerajaan terutamanya perlu mengorak langkah drastik bagi mengatasi masalah jerebu ini dari terus-menerus menghantui negara kita.  Rakyat yang sihat merupakan tonggak utama untuk memastikan kemajuan negara kerana 'Rakyat Sihat Negara Maju'. 

SUMBANGAN CIKGU CHOM
http://cikguchom.blogspot.com/2013/06/karangan-contoh-15-fenomena-jerebu.html

CONTOH KARANGAN : MANFAAT 1 MURID 1 SUKAN

MANFAAT DASAR 1 MURID 1 SUKAN Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

                Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat dilahirkan melalui dasar ini.

                       Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk melalui dasar ini.

                    Jika kita singkap dari perspektif yang berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

                  Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka. Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.

                  Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1 Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.

                  Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di persada antarabangsa.

Mesyuarat Panitia BM KSAH : 9/10/2013

Mesyuarat Panitia BM KSAH : 9/10/2013

Wednesday, May 11, 2011

RAMALAN TAJUK KARANGAN BAHASA MELAYU SPM 2011
RAMALAN TAJUK KARANGAN BAHASA MELAYU SPM 2011


1.KEBAIKAN RIADAH DAN REKREASI

2.USAHA-USAHA UNTUK MENGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN MALAYSIA

3.KESAN PEMBUANGAN SAMPAH TERHADAP ALAM SEKITAR

4.KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

5.CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG.

6.KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL DAN USAHA-USAHA UNTUK MENGELAKANNYA

7.USAHA-USAHA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN.

8.USAHA-USAHA UNTUK MENGGLAKAN AMALAN GOTONG ROYONG

9.PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MENGEKALKAN PERPADUAN KAUM.

10.FAEDAH MENABUNG DALAM KEHIDUPAN KITA.

11.MASALAH KEMASUKKAN PENDATANG ASING,PUNCA,KESAN DAN LANGKAH UNTUK MENGATASINYA.

12.PUNCA DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANI KEMALANGAN JALAN RAYA.
Dicatat oleh asyrafinewz di 2:10 AM
SOALAN RAMALAN BESERTA JAWAPAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )
RAMALAN SOALAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )


Karangan SPM 2011

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.
Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.
Dicatat oleh asyrafinewz di 1:49 AM