Wednesday, May 11, 2011

RAMALAN TAJUK KARANGAN BAHASA MELAYU SPM 2011
RAMALAN TAJUK KARANGAN BAHASA MELAYU SPM 2011


1.KEBAIKAN RIADAH DAN REKREASI

2.USAHA-USAHA UNTUK MENGALAKKAN PEMBELIAN BARANGAN BUATAN MALAYSIA

3.KESAN PEMBUANGAN SAMPAH TERHADAP ALAM SEKITAR

4.KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

5.CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG.

6.KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL DAN USAHA-USAHA UNTUK MENGELAKANNYA

7.USAHA-USAHA MENGERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN.

8.USAHA-USAHA UNTUK MENGGLAKAN AMALAN GOTONG ROYONG

9.PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK MENGEKALKAN PERPADUAN KAUM.

10.FAEDAH MENABUNG DALAM KEHIDUPAN KITA.

11.MASALAH KEMASUKKAN PENDATANG ASING,PUNCA,KESAN DAN LANGKAH UNTUK MENGATASINYA.

12.PUNCA DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANI KEMALANGAN JALAN RAYA.
Dicatat oleh asyrafinewz di 2:10 AM
SOALAN RAMALAN BESERTA JAWAPAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )
RAMALAN SOALAN SPM 2011 ( KARANGAN BAHASA MELAYU )


Karangan SPM 2011

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.
Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.
Dicatat oleh asyrafinewz di 1:49 AM

Sunday, April 17, 2011

Kembara Amira

folio kembara amira

Saturday, February 12, 2011

Rumusan Dan Pemahaman Petikan Umum (SPM) Ogos 6, 2007
Difailkan di bawah: SPM (PENULISAN) — mamaaina @ 9:05 am

Pemarkahan
• Bahagian ini diperuntukkan sebanyak 30 markah
• 20 markah untuk bahagian isi dan 10 markah untuk aspek bahasa
• Pengenalan – 2 markah
• Setiap isi tersurat dan tersirat – 2 markah
• Kesimpulan – 2 markah
• Aspek bahasa markah yang diperuntukkan ialah separuh daripada markah isi.Aspek bahasa seperti pengolahan bahasa, penggunaan istilah dan kosa kata, tanda baca dan sebagainya akan diteliti sebelum markah untuk bahagian bahasa diberikan.

Friday, February 11, 2011

Strategi Menjawab Soalan Rumusan SPM
PETIKAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan
Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,
Utusan Malaysia, Jun 2003)


A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
· Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
(masa dicadangkan 2 minit)
· Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman
(masa dicadangkan 5 minit)


STRATEGI 2 :

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan perkataan-perkataan tersebut.
· Fokus 1 = Isi tersurat
· Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.


CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk semangat kejiranan.
[ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



STRATEGI 3

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni).
[ISI 1]



Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita)[ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah)[ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung)[ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.


Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran).[ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.


Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara)[ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.


STRATEGI 4

Senaraikan FOKUS 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah perkataannya.

Isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

1. Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]
2. Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
3. Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]
Atau
Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
4. Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
5. Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
6. Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
7. Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat setempat. [ 9 ]
8. Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
9. Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
10. Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]


STRATEGI 5

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:
1. Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad. Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah perkataan
2. Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

CONTOH:
Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 46 patah perkataan ]



B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

1. Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan
yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara memupuk semangat
kejiranan.

2. Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat
dan fokus 2 dalam arahan soalan.

3. Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.

4. Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat.


STRATEGI 1

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan.

CONTOH :

1. Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia memberi
pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

2. Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin atau ambil
berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan kejiranan / bertegur sapa /
saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

3. Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

4. Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat .

5. Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun tetangga /
persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

6. Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

7. Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak sombong /
berbaik sangka dengan jiran .


STRATEGI 2

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan. [ 23 patah perkataan ]



C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN.

STRATEGI :

1. Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
2. Kenal pasti fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan fokus 1 itulah penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
3. Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu menjadi ayat anda sendiri.
4. Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
5. Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan / membicarakan …….


CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahulaun:
Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.
atau
Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam masyarakat


D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN.

1. Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
2. Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
3. Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
4. Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya, demi’.
5. Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.
Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …







CONTOH KESIMPULAN:

1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan

Atau

2. Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat diwujudkan.


CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
[ 100 patah perkataan]
Posted by cikgu wan: belajarbm.blogspot.com

Friday, January 28, 2011

Sinopsis Novel Kembara Amira

SINOPSIS
Novel ini mengisahkan pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan. Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya. Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama pelajar tahun akhir. Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. Amira juga telah berkenalan dengan Malique.
Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut. Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang mereka naiki terbenam dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung.
Dalam masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya adalah kawasan petempatan awal manusia. Seterusnya Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah. Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua. Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique. Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.
Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia. Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau adalah adalah bapa kandung kepada Malique (Sabi). Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai adalah adik Malique.
Akhirnya Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa. Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris. Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

Friday, January 21, 2011

Contoh Karangan

Amalan berjimat cermat dan menabung.


............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Friday, January 14, 2011

Interlok

JANGAN LAYAN DESAKAN

BESUT 13 Jan. - Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia meminta supaya Kementerian Pelajaran tidak melayan sebarang desakan menarik balik novel Interlok sebagai teks wajib Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.

Presidennya, Profesor Madya Dr. Hashim Othman berkata, pihaknya berpendapat langkah itu hanya akan menghakis peluang generasi muda memahami dan menerima perkembangan sejarah pelbagai masyarakat yang membentuk negara Malaysia.

Beliau berkata, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husein menggarap idea dengan baik dalam novel itu melalui penceritaan tentang pembinaan masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum merdeka menerusi watak Seman, Chin Huat dan Maniam secara realistik.

"Tindakan bakar novel dan potret penulis Interlok jelas tidak menggambarkan kematangan tindakan dan pemikiran, yang jelas bermotif kepentingan politik tanpa melihat konteks cerita atau menerima realiti peristiwa yang digambarkan penulis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hashim percaya sekiranya tuntutan kumpulan itu dilayan, pasti banyak lagi isu akan ditimbulkan berpandukan daripada buku-buku lama atau buku sejarah yang menggunakan perkataan atau perumpamaan tertentu yang menggambarkan masyarakat Melayu, Cina dan India sebelum merdeka.

Beliau berkata, penggunaan Interlok juga selari dengan mata pelajaran Sejarah yang dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus, iaitu murid didedahkan dengan hakikat dan fakta sejarah untuk membolehkan mereka berfikir secara rasional, kritis serta memupuk sifat bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

"Interlok ditulis untuk dibaca dengan fikiran terbuka, bukan dibakar untuk memarakkan emosi," kata Dr. Hashim yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Sumber: Utusan Malaysia